PENDAHULUAN
Pendidikan prasekolah merupakan pengalaman awal yang
penting dalam dunia pendidikan. Pengalaman persekolahan
dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan
menyeronokkan dapat membekalkan murid dengan kemahiran,
keyakinan diri dan sikap yang positif untuk pembelajaran yang
seterusnya.
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) adalah
wadah utama yang menjadi panduan guru dalam mendukung
hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan prasekolah
bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang.
KSPK digubal berdasarkan prinsip amalan bersesuaian dengan
perkembangan kanak-kanak dan teori pembelajaran kanakkanak.
Kandungan KSPK adalah berasaskan enam tunjang iaitu
Tunjang Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai;
Kemanusiaan; Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan
Teknologi; dan Keterampilan Diri. Antara perkara yang diberi penekanan dalam pengubalan KSPK
ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan
secara eksplisit dalam penulisan Standard Pembelajaran. Guru
perlu menterjemah Standard Pembelajaran dalam p&p di bilik
darjah dengan penekanan kepada KBAT.
Perincian dalam dokumen ini diharap dapat membantu guru
merancang dan melaksanakan p&p secara berkesan. Aktiviti
yang dirancang perlu memberi pengalaman yang menyuburkan
dan menyeronokkan, melibatkan murid secara aktif serta
selamat. Guru digalak menggunakan kreativiti untuk memilih,
menyusun, mengolah dan mempelbagai aktiviti berpandukan
Standard Pembelajaran mengikut kesesuaian murid. Adalah
diharapkan guru akan menghayati dan melaksanakan
kehendak-kehendak sebagaimana yang terkandung dalam
kurikulum ini agar matlamat dan objektif yang telah ditetapkan
akan tercapai.
Kandungan yang dipelajari di peringkat prasekolah pada
asasnya merupakan pengetahuan dan kemahiran asas yang
diperlukan murid sebagai persediaan untuk mengikuti
pendidikan di peringkat sekolah rendah kelak.
MATLAMAT
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan bertujuan
memperkembangkan potensi murid berumur empat hingga
enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek
jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran
pembelajaran yang selamat dan menyuburkan serta aktiviti
pembelajaran yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini
adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan
dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri murid agar
mereka bersedia untuk menghadapi cabaran dan mengikuti
pembelajaran seterusnya.
OBJEKTIF
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menyediakan
peluang kepada murid untuk mencapai objektif seperti yang
berikut:
1. Menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan
berkesan.
2. Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian
untuk murid beragama Islam.
3. Mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.
4. Menghargai dan peka terhadap budaya masyarakat
Malaysia.
5. Menyayangi dan menghargai alam sekitar.
6. Memperkembangkan konsep kendiri yang positif dan
keyakinan diri.
7. Mempraktikkan amalan kesihatan, membina kecergasan
badan dan menjaga keselamatan diri.
8. Mengembangkan daya kreatif dan estetika.
9. Mengaplikasikan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif serta
kemahiran menyelesaikan masalah dalam pembelajaran
dan kehidupan seharian.
KERANGKA KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH
KEBANGSAAN
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dibina berasaskan
enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai;
Kemanusiaan; Keterampilan Diri; Perkembangan Fizikal dan
Estetika; serta Sains dan Teknologi. Enam tunjang tersebut
merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama
lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan
inovatif. Kesepaduan ini bertujuan membangunkan modal insan
yang menghayati nilai-nilai murni berteraskan keagamaan,
berpengetahuan, berketerampilan, berpemikiran kritis dan
kreatif serta inovatif
- Sains dan teknologi- Pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik.
- Pengetahuan dan kemahiran matematik
- Perkembangan fizikal dan estetika- Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri.
- Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat, dan apresiasi
- Keterampilan diri- Pemupukan keterampilan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
- Kemanusiaan- Pendedahan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar
- Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan
- Kerohanian- Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai
- Komunikasi- Pendedahan kemahiran berbahasa secara lisan dan bukan lisan secara berinteraksi